Tahniah, Bravo dan Syabas. Rasanya inilah 3 patah perkataan yang paling sesuai diucapkan kepada atlet perempuan terbaik dalam SUKMA ke 14 di Kuala Lumpur. Pengajaran yang boleh dipelajari ialah;- Untuk menjadi yang terbaik, perlukan latihan yang kuat, gigih dan betul kaedah serta aspek pemakanan yang berkualiti. Practice Makes Perfect.
SHAFIE bersama Ju Pha menunjukkan trofi Anugerah Olahraga dan Olahragawati Temasya Sukma 2011 di Stadium MSN, Bukit Jalil, semalam.
SEPERTI dijangka, jaguh kenu dari Johor, Ahmad Shafie Abd Jabar (kanan) dan ratu basikal trek, Ju Pha Som Net dari Perlis dinobatkan selaku olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) XIV Kuala Lumpur yang melabuhkan tirainya, malam tadi.
Kedua-duanya dipilih berdasarkan pencapaian masing-masing dengan Ahmad Shafie merangkul tiga emas (500m K1, 1,000m K1, 1,000m K2) satu perak dan satu gangsa manakala Ju Pha menyapu empat emas (acara scratch, kejar mengejar, pecut, 500m ujian masa) dan satu perak dalam semua acara individu yang disertai pada temasya kali ini.
Ju Pha, 18, mengakui terkejut dengan pengiktirafan tertinggi itu selepas gagal menyinar dalam penyertaan pada temasya di SUKMA 2006 di Kedah, SUKMA 2008 di Terengganu dan SUKMA 2010 di Melaka. "Saya macam tidak percaya boleh menang anugerah ini kerana saya lihat ada beberapa atlit wanita lain yang turut menyerlah dengan memenangi banyak emas. Saya gembira dan dedikasi anugerah ini kepada ayah saya (Som Net Lim) yang banyak memberi dorongan selama ini," kata pelumba berasal dari Chuping, Perlis itu. Selepas membuka tirai 2 Jun lalu, temasya XIV ditutup secara rasmi malam tadi oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan Terengganu yang mengumpul 30 emas, lapan perak dan 12 gangsa muncul juara keseluruhan, diikuti Selangor (26-18-28) dan Johor ketiga (21-20-12). Pahang akan menjadi tuan rumah temasya tahun depan.
Dipetik dari akhbar Berita Harian versi digital http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JuPha_Shafieatlitterbaik/Article