LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Wednesday 24 August 2011

Widgets

ACCIDENT - DON'T BE PART OF STATISTIC



24 Ogos, 2011 12:01 PM

Jangan Jadi Statistik Korban Jalan Raya

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Peringatan "Berhati-hati di Jalan Raya", "Patuhi Had Laju", "Kelajuan Membunuh", dan slogan "Pandu, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat" serta "Anda Mampu Mengubahnya" menyegarkan kembali ingatan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.



Namun realitinya, pengguna jalan raya di Malaysia masih lagi cuai, lalai dan lupa walau disogokkan dengan pelbagai peringatan serta slogan di sepanjang jalan raya.



Buktinya jelas, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan terus meningkat. Pada 2010 sebanyak 414,421 kemalangan direkodkan berbanding 397,330 kemalangan pada 2009.



Malah jumlah kematian juga meningkat dalam tempoh yang sama iaitu daripada 6,745 kepada 6,872 orang.

17 KEMATIAN SETIAP HARI

Di Malaysia, antara subuh hari dan ke subuh esoknya, akan terdapat purata 17 orang yang mati di atas jalan raya akibat kemalangan tidak kira pada hari biasa atau hujung minggu.



Angka ini yang dikatakan tidak banyak berubah sejak lima tahun lepas adalah besar bagi sebuah negara yang penduduknya hanya berjumlah kira-kira 28 juta orang, demikian menurut Pakar Pengangkutan Awam dan ketua Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Abd Rahim Md Nor.

Apa yang lebih membimbangkan ialah jumlah kematian itu masih tidak berjaya menakutkan pengguna jalan raya.

"Persepsi orang ramai terhadap kematian di jalan raya amat aneh, kerana mereka kurang mengambil kisah berita kematian akibat kemalangan...," katanya.



Kemalangan jalan raya membawa implikasi besar terhadap masyarakat dan negara kerana setiap hari belasan orang mati di jalan raya yang menyebabkan isteri kehilangan suami, anak kehilangan bapa, ibu kehilangan anak dan negara kehilangan warganya.

SIKAP PENGGUNA MASIH TIDAK BERUBAH

Masalah sikap dan kecuaian pengguna jalan raya menjadi punca utama berlakunya kemalangan di jalan raya di negara ini, selain faktor jalan dan kenderaan.



Antara kecuaian yang menyumbang kepada peratusan besar kemalangan ialah memandu laju, memandu secara berbahaya dan mengambil risiko berbahaya.



Hakikat ini diketahui dan diterima umum namun ia umpama 'angin lalu' yang langsung tidak memberi kesan. Malah kesedaran masyarakat masih lagi pada tahap yang rendah.

Bagi menyedarkan masyarakat, setiap kali musim perayaan, PDRM melancarkan Ops Sikap sejak 11 tahun lepas bagi mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan.

Kini ramai pihak yang menganggap Ops Sikap sudah tidak relevan lagi kerana sikap pengguna masih tidak berubah walaupun sudah 11 tahun dijalankan dengan ramai pemandu kembali ke perangai lama di jalan raya sebaik tempoh operasi itu tamat.

JUMLAH KEMATIAN MASIH BOLEH DIKURANGKAN

Prof Abd Rahim berkata jumlah kemalangan maut masih boleh dikurangkan sekiranya kesedaran rakyat Malaysia lebih menyeluruh seperti di negara-negara maju di Eropah dan Jepun.

Prof Abd Rahim berkata kebanyakan pemandu di Malaysia tidak mempunyai kemahiran memandu dan mereka sekadar mempunyai pengetahuan memandu sahaja.

"Lesen memandu yang mereka peroleh bukan bukti mereka mahir memandu.

"Bila dapat lesen mereka bebas memandu di atas jalan raya, pada hal ramai di antara mereka sebenarnya belum layak memandu di jalan raya dan akhirnya menjadi pengacau di jalan raya," katanya.

Beliau menegaskan prosedur ujian memandu di Malaysia perlu dirombak semula bagi melahirkan pemandu yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan memandu malahan mahir memandu.




Oleh kerana ramai yang belum layak bergerak di jalan raya, mereka tidak tahu sama ada kelakuan mereka itu betul atau salah daripada segi peraturan jalan raya.

"Mereka dalam kumpulan tidak sedar, mendapati diri mereka masih selamat dan tidak berlaku kemalangan semata-mata kerana orang lain yang bersimpati dan beralah serta memberi laluan kepada mereka di jalan raya walaupun mereka sebenarnya banyak kali melanggar peraturan jalan raya," tegasnya.



Prof Abd Rahim berkata, Malaysia sepatutnya mencontohi negara-negara maju seperti di Eropah di mana lesen memandu penuh memerlukan empat tahun pengalaman pemanduan.

"Kita di Malaysia, hanya beberapa bulan sahaja sudah mendapat lesen, dan menggunakan lesen P selama dua tahun. Itupun sekarang saya jarang nampak mereka melekatkan pelekat "P" pada kenderaan. Jika pemasangan pelekat P pun tidak boleh diamalkan, tidak hairanlah dengan kadar kelamangan yang tinggi di negara kita," katanya.

GUNA PENGANGKUTAN AWAM

Pertambahan kenderaan sebanyak kira-kira satu juta buah setiap tahun serta jumlah pemandu berlesen baru akan hanya meningkatkan lagi jumlah kemalangan jalan raya.

Prof Abd Rahim berkata satu daripada cara mengurangkan risiko kemalangan adalah dengan menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata jumlah kematian melibatkan pengangkutan awam jauh lebih kecil berbanding pengguna kereta dan motosikal.

Tahun lepas, contohnya, hanya 77 kematian (1.1 peratus daripada jumlah pengguna pengangkutan awam) sedangkan pengguna kereta mencatatkan 1,421 kematian (20.7 peratus) dan yang tertinggi penunggang dan pembonceng motosikal iaitu, 4,036 kematian (58.7 peratus).



"Penunggang dan pembonceng motosikal patut menggunakan kemudahan pengangkutan awam ini kerana mereka golongan yang berisiko tinggi terutama semasa pulang ke kampung pada musim perayaan ini," katanya.

Terdapat beberapa kategori pengangkutan awam di Malaysia yang selamat iaitu pengangkutan awam dalam bandar - bas, teksi, LRT dan Monorel - dan antara bandar komuter dan keretapi.

Bagaimanapun, pengangkutan awam dari bandar ke bandar menggunakan ekspres masih lagi berisiko tinggi.

Ia masih berpunca daripada sikap pemandu yang menyebabkan bas terdedah kepada bahaya.

"Namun jika menggunakan perkhidmatan Kereta api, ia jauh lebih selamat dan diyakini sampai ke destinasi yang dituju berbanding bas ekspres," katanya.



Apa yang penting, katanya, semua pengguna perlu menanam azam untuk menjadi pemandu berhemah dengan mematuhi peraturan di jalan raya bagi mengelakkan sebarang tragedi.

Sumber = BERNAMA.

Diharap para pemandu memandu dengan cermat, elakkan laluan yang merbahaya dan laluan sibuk. Bagi pengguna PLUS Highway, ikutilah nasihat di sini.

Gambar kemalangan sumbangan amazingnara.com.




Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX