LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Tuesday 1 November 2011

Widgets

IKRAM MENENTANG USAHA KEMBALIKAN PPSMI






Ikram Tentang Usaha Kembalikan PPSMI, Minta Kerajaan Bertegas Dengan Keputusan

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menentang usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana yakin keputusan Kementerian Pelajaran mengenai isu ini telah diasaskan kepada kajian dalaman kementerian itu.

Pengerusi jawatankuasa pendidikan Ikram Prof Madya Dr Omar Yaakob berkata ia berdasarkan kajian pakar-pakar tempatan dan kajian badan luar negara yang berwibawa, yang menunjukkan kesan negatif PPSMI melebihi manfaatnya.

"Cadangan untuk memberikan pilihan kepada sekolah untuk memilih sama ada menjalankan pengajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem pendidikan negara.

"Kerajaan perlu bertegas serta mengambil langkah berhikmah dalam menentukan pendekatan dan strategi agar kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Ikram ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menaungi rangkaian 34 buah sekolah-sekolah swasta Islam Se-Malaysia pada peringkat rendah dan menengah dengan jumlah pelajar seramai 13,000 orang, dengan lebih 1,000 pendidik dan 20,000 ibu bapa.

Sekolah pertamanya mula beroperasi sejak tahun 1985.

Dr Omar berkata penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi cara melalui PPSMI bukan sahaja tidak mencapai matlamat bahkan akan merencat perkembangan pendidikan murid-murid terutama di luar bandar.

Katanya kementerian membuat keputusan tepat membatalkan PPSMI dan melancarkankan program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau berkata Ikram menerima kepentingan dan keperluan menguasai bahasa-bahasa lain seperti yang disebut dalam al-Quran dan hadis tetapi strategi pelaksanaan untuk menguasai bahasa asing bukan dengan mengorbankan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai tonggak pembangunan agama, bangsa dan negara.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah-sekolah kerajaan tidak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains walaupun terus menerima tekanan daripada pertubuhan ibu bapa dan beberapa badan bukan kerajaan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tindakan membenarkan sekolah memilih antara dasar PPSMI atau menggunakan pendekatan baru yang diluluskan oleh Kabinet dua tahun lepas hanya akan menyebabkan keadaan kucar-kacir.

Sumber=BERNAMA

For Man Utd fans, here's your chance to watch live matches in Old Trafford in UK! Click here for info.


Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX