LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Thursday 3 November 2011

Widgets

SEKOLAH JANGAN TUNTUT YURAN YANG TELAH DIMANSUHKAN






Sekolah Diingatkan Tidak Tuntut Yuran Yang Telah Dimansuhkan


KUALA LUMPUR, 2 Nov : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak pentadbiran sekolah kerajaan supaya tidak menuntut segala bentuk yuran yang sudah dimansuhkan termasuk yuran peperiksaan, kertas peperiksaan dan ko-kurikulum daripada pelajar.

Beliau berkata pemansuhan yuran yang membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta itu kini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan sebagaimana diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

"Kerajaan akan mengambil alih segala kos yang biasa dikenakan untuk peperiksaan, untuk membeli kertas-kertas, untuk ko-kurikulum dan sebagainya. Jadi saya harap sekolah-sekolah tidak akan menuntut bayaran sebegini kerana semuanya akan ditanggung kerajaan.

"Kita harap dengan pemansuhan ini juga akan dapat mengurangkan beban ibu bapa dan membantu anak-anak ke sekolah," katanya ketika berucap di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran akhbar harian berbahasa Tamil, Malaysia Nanban di sini.

Seramai 185 pelajar India yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lepas dan mendapat A dalam mata pelajaran bahasa Tamil diraikan pada majlis itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau berharap pencapaian di sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara akan menjadi setanding dengan pencapaian sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah kebangsaan.

"Bagi kita, pendidikan adalah wahana paling penting dalam melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi yang akan menjadi faktor penentu kemajuan negara.

"Dalam soal ini kita tidak membeda-bedakan antara kaum dalam negara kita untuk mendapat hak dalam soal pendidikan. Oleh sebab itu setiap kaum kita berikan tumpuan. Kita ada hampir 10,000 sekolah di seluruh negara dan lebih 500 daripada jumlah itu adalah sekolah Tamil," katanya.

Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti cadangan yang dibuat Shafee Zaman yang dalam ucapan aluannya menyarankan supaya bahasa Tamil dijadikan mata pelajaran wajib diduduki oleh pelajar India dalam peperiksaan SPM.

"Kita akan meneliti perkara itu kerana kementerian juga perlu mengambil kira mata pelajaran bahasa lain dan ia akan diputuskan selepas diteliti kementerian," katanya.

Sumber=BERNAMA



Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX