LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Tuesday 1 November 2011

Widgets

PPSMI : PAGE INGIN SEKOLAH DIBERIKAN PILIHAN






Polemik PPSMI Hanya Membuang Masa Dan Harus Dihentikan : GPMS Kedah

ALOR SETAR, 31 Okt (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyifatkan polemik mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai membuang masa dan harus dihentikan segera.

Pengerusinya Shamsul Bahar Abdul Rani berkata sebaliknya usaha perlu ditumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

"Semua pihak harus menerima pemansuhan PPSMI dengan lapang dada dan apa yang penting sekarang adalah pelan yang komprehensif di bawah sistem pendidikan negara untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu Sains dan Matematik.

"GPMS Kedah ingin mencadangkan agar hasil perbincangan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pendidikan dalam perkara ini dikongsi untuk pengetahuan orang ramai agar semua pihak boleh memberi syor yang sesuai demi kepentingan bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, guru dan masyarakat perlu membantu kerajaan dengan memberi input untuk memastikan pelajar dapat menguasai ilmu berkenaan secara efektif.

Shamsul Bahar berkata GPMS tidak menolak pentingnya untuk menguasai bahasa Inggeris malah menyokong usaha berterusan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mahir berkomunikasi dalam bahasa asing itu.

Sebelum ini Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka bahawa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah pada 2003 tetapi pada 2009, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan akan menukar dasar PPSMI itu kepada Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mulai 2012 tetapi penekanan juga diberi terhadap Bahasa Inggeris.

Di GEORGE TOWN, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) meminta kerajaan bertegas dan tidak tunduk dengan desakan PAGE yang mahukan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan secara pilihan di sekolah.

Yang Dipertua Pemenang Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, desakan PAGE itu tidak mewakili keseluruhan rakyat malah ia seolah-olah tidak mahu memahami hasrat kerajaan untuk melaksanakan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun depan.

Katanya semua pihak haruslah sedar bahawa PPSMI mempunyai kelemahannya terutamanya bagi pelajar dan guru di sekolah luar bandar dan disebabkan itu Muhyiddin telahpun memgumumkan dasar baru itu bagi menggantikan PPSMI.

"Bahasa Inggeris ialah satu subjek bahasa yang perlu diperkukuhkan kerana ia adalah bahasa dunia tetapi bahasa itu tidak semestinya digunakan dalam pembelajaran Sains dan Matematik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hakikatnya jika seseorang pelajar dan guru itu lemah dalam bahasa Inggeris, ia menyukarkan pembelajaran subjek Sains dan Matematik jika diajar dalam bahasa itu.

Mohd Yussof berkata jika penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang menjadi isu, kerajaan harus mengambil tindakan untuk memperkukuhkan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukannya memaksa pelajar untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Katanya cadangan untuk memberi pilihan kepada sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam mana-mana dua bahasa, akan menyukarkan dan mengelirukan pelajar dan guru.

Beliau berkata, dasar MBMMBI adalah jelas untuk mengatasi isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di samping mempertabatkan bahasa Malaysia dan dasar itu sepatutnya disokong oleh semua pihak.

Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim dipetik sebagai berkata persatuan itu telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar dasar PPSMI dipertimbangkan semula.

Sumber=BERNAMA

Fantastic holidays for four worth more than RM55,000! Clicks here for details.

Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX