LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Sunday, 30 October 2011

Widgets

IBU DERITA POHON BANTUAN



SUNGAI PETANI, 30 Okt -- Ibu tiga anak, Sadiaron Sainon, 42, terlantar dan hanya bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan selepas sebahagian paru-parunya telah rosak ketika tinjauan BERNAMA di rumahnya di Kampung Padang Buloh di Sidam Kiri dekat sini. Sadiaron merayu simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.
Orang ramai dan pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Giro (02123-29-00015022-3) atas nama anak lelakinya Mohamad Amirul Tajuddin atau menghubunginya di talian 013-4703483. Foto=BERNAMA


Ibu Derita Sakit Paru-Paru Rayu Bantuan

SUNGAI PETANI, 30 Okt (Bernama) -- Seorang ibu yang menderita sakit paru-paru sejak dua tahun lalu merayu simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

Sadiaron Sainon, 42, dari Kampung Padang Buloh di Sidam Kiri dekat sini berkata dia kini hanya bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan memandangkan sebahagian paru-parunya telah rosak.

"Saya sudah tidak boleh berjalan sejak tiga bulan lalu dan doktor ada kata kepada saya bahawa penyakit saya ini tidak ada harapan nak sembuh. Sepanjang hayat perlu bergantung kepada mesin oksigen ini yang mana tiga orang anak saya ini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah bagi menjaga keperluan diri saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini.

Katanya keluarganya kini berdepan dengan masalah kewangan memandangkan suaminya Tajuddin Shafie, 46, yang hanya bekerja kontrak tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu memenuhi keperluan harian keluarga termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak yang berusia 11 hingga 15 tahun.

"Suami saya ini pun baru sahaja sembuh daripada strok pada bulan Julai lalu dan kerja mesin rumput di rumah-rumah orang iaitu apabila hari hujan tidak boleh kerja, jika tidak kerja maka tidak ada gaji. Secara anggaran kasar kalau sebulan suami saya kerja tanpa henti boleh dapat kira-kira RM500," katanya.

Sadiaron berkata pendapatan itu tidak mencukupi untuk keperluan mereka sekeluarga tambahan dia menggunakan lampin pakai buang manakala tiub air kencing perlu ditukar dua minggu sekali selain berulang-alik ke Hospital Sultan Abdul Halim dekat sini untuk rawatan susulan.

"Ini tidak kira lagi waktu kecemasan yang memerlukan saya ke hospital dengan serta-merta, iaitu ada juga kes dalam sebulan saya kena pergi ke hospital dua kali. RM60 perlu dibelanjakan untuk menambah gas oksigen kepada salah salah satu mesin oksigen manual yang diberi pihak hospital kepada saya dan kalau gas habis cepat sebulan dua kali juga kena tambah. Jadi kos untuk semua benda ini akan bertambah," katanya.

Sadiaron berkata dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan kadang-kadang ada juga pihak yang sudi membantu dengan menghantar makanan ke rumahnya.

Orang ramai dan pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Giro (02123-29-00015022-3) atas nama anak lelakinya Mohamad Amirul Tajuddin atau menghubunginya di talian 013-4703483.

Sumber Informasi=BERNAMA


[Vote it]

Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX