LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Monday 24 October 2011

Widgets

RASUAH MEMANG TAK BERBALOI, ANDA SEDANG DIPERHATI.




Hukuman Terhadap Bekas Pengarah Muzium ATM Kekal

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara dua tahun terhadap bekas pengarah Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas 14 kesalahan rasuah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim juga mengekalkan jumlah denda sebanyak RM350,000 ke atas Leftenan Kolonel Zainal Mohd Ali setelah menolak rayuannya ke atas sabitan dan hukuman.

Hakim Md Raus bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Clement Allan Skinner.

Zainal, 57, yang datang ke mahkamah dengan bertongkat kerana kehilangan kaki ekoran serangan komunis pada 1979 ketika menyertai operasi di Bukit Gubir, Kedah kelihatan sebak selepas hakim membuat keputusan.

Isteri dan anak lelaki Zainal turut kelihatan menangis sebelum beliau dibawa oleh anggota polis untuk dihantar ke penjara.

Pada 5 Feb 2008, Zainal, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen terhadap lapan tuduhan menggunakan kedudukannya dengan meminta seorang kontraktor, Anuar @ Mohamed Annuar Abdul, memberikan kerja atau kontrak yang ditawarkan Kementerian Pertahanan Malaysia kepada syarikat isterinya, Suhani Enterprise, berjumlah RM154,600.

Zainal didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Muzium ATM, Jalan Padang Tembak, antara November hingga Disember 2000.

Dia juga didapati bersalah terhadap lima tuduhan memperoleh rasuah sebanyak RM33,000 daripada Anuar sebagai dorongan untuknya memberi kerja senggaraan dan pembaikan serta perkhidmatan lain bagi Muzium ATM kepada syarikat milik Anuar.

Bagi lima tuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Maybank cawangan Taman Setiawangsa, Wisma Rima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, antara 30 Okt hingga 26 Dis 2000.

Zainal juga menghadapi satu lagi tuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu pesanan kerajaan dan invois Shura Trading, yang mana tertuduh mengesahkan dalam invois itu bahawa perkhidmatan dan barang-barang yang dipesan dalam pesanan kerajaan, sudah dibekalkan dengan cukup serta memuaskan.

Bagaimanapun, barangan yang dicatatkan dalam pesanan kerajaan iaitu membuat dan membekalkan sijil penghargaan termasuk bingkai dan papan lapik untuk sijil penghargaan penderma artifak ke Muzium ATM, tidak dibekalkan. Semua barangan yang dicatatkan itu bernilai RM19,500.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, antara 27 Nov dan 14 Dis 2000.

Mahkamah Sesyen pada 5 Feb 2008 menjatuhkan hukuman penjara empat tahun, dan selepas merayu di Mahkamah Tinggi hukumannya dipinda kepada dua tahun penjara dan denda RM350,000, pada 14 April tahun lepas.

Ketika rayuan, peguam Mej (B) Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Zainal memohon mahkamah menimbang jasa anak guamnya kepada negara sepanjang berkhidmat selama 30 tahun, dan beliau (Ku Abdul Rahman) yang turut sama menyertai operasi menentang komunis pada 1979 amat mengetahui semangat juang dan keberanian Zainal.

Katanya Zainal telah kehilangan kaki sebelah kanan (kini memakai kaki palsu) ketika diserang ribuan komunis dan berikutan kesalahan itu, Zainal kehilangan punca pendapatan dan segala kemudahan selepas bersara.

Tambah Ku Abdul Rahman, Muzium ATM dan Anuar juga tidak mengalami sebarang kerugian dan tindakan anak guamnya menyerahkan projek tersebut kepada syarikat isterinya hanya semata-mata bagi memastikan kerja terbengkalai dapat disiapkan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang lain kerana kesalahan rasuah adalah serius.

Foto&Informasi dari BERNAMA


Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX