LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Monday, 24 October 2011

Widgets

PONTENG SEKOLAH DEMI BAPA, DATUK DAN NENEK



KOTA BAHARU, 24 Okt -- Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, memberikan ubat kepada suaminya, Zulkifli Deraman, 44, yang disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu dan tinggal di rumah usang bersama keluarganya di Kampung Tok Ku, Sering dekat sini.
Tengku Azizah menjadi tonggak keluarga mencari pendapatan keluarga manakala lima daripada enam anaknya, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, Nik Muhamad Arif, 15, Nik Muhamad Afif, 13, Nik Mohamad Azwar, 11 dan Nik Nur Athirah, 10, terpaksa bergilir ponteng sekolah demi menjaga bapanya serta datuk, Tengku Ahmad Tengku Daud, 90 dan nenek, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, yang tinggal bersama mereka. Foto BERNAMA


Lima Beradik Bergilir Ponteng Sekolah Demi Bapa, Nenek, Datuk

KOTA BAHARU, 24 Okt (Bernama) -- Demi menjaga bapa, nenek dan datuk yang sakit, lima beradik di Kampung Tok Ku, Sering, dekat sini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah biarpun menyedari tindakan itu bererti memperjudikan masa depan mereka.

Kakak sulung daripada lima beradik itu, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, berkata dia dan adik-adiknya, Nik Muhamad Arif, 15, Nik Muhamad Afif, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti serta Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang mengambil alih tugas menyara keluarga selepas bapanya, Zulkifli Deraman, 44, disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.

"Selepas bapa disahkan menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa mengambil alih menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

"Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja... apatah lagi kedua-dua nenek dan datuk saya, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang sakit tua dan tinggal bersama kami memerlukan penjagaan sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Nik Nur Alwani berkata keadaan bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan Kedai Lalat dan buruh di kampungnya kini semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ibu mereka, Tengku Azizah berkata dia terpaksa membenarkan lima daripada enam anaknya itu ponteng sekolah kerana beliau terpaksa keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari.



KOTA BAHARU, 24 Okt -- Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, bersama anaknya, Nik Mohamad Azwar Zulkifli, 11, menterbalikkan asam keping yang dijemur untuk dijual sebagai pendapatan sampingan keluarga yang dijual di rumahnya di Kampung Tok Ku, Sering dekat sini. Foto BERNAMA


Bagaimanapun, katanya ekoran keadaan suami dan dua orang tuanya yang kadangkala diserang sakit teruk, dia kerapkali terpaksa mengambil cuti.

"Kalau dikira sebulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti pendapatan yang diperoleh terlalu sikit dan tidak mencukupi... apatah lagi saya terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan," katanya.

Selain itu, katanya keadaan rumah pusaka didiami mereka semakin usang dan menunggu roboh dengan atap yang bocor serta dinding dan lantai yang berlubang menambah bebanan hidupnya.

Tengku Azizah yang tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mengetahui prosedur berkata dia berharap ada insan yang sudi menghulurkan bantuan kewangan untuk membaiki rumahnya.

Dia juga berharap memperoleh peralatan seperti mesin jahit untuk membolehkkanya bekerja dari rumah dan menjaga suami serta kedua-dua ibu bapanya, sekaligus memberi ruang kepada kelima-lima anaknya ke sekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau penghulu Kampung Tok Ku, Shukri Ali di talian 013- 9538113.

Bantuan juga boleh terus disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Tengku Azizah yang bernombor 03103-29-00015739-3.

Foto&Informasi dari BERNAMA


Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX