LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Tuesday 25 October 2011

Widgets

DADAH : JURURAWAT CANTIK DARI JEPUN KE TALI GANTUNG




SHAH ALAM, 25 Okt -- Bekas jururawat warganegara Jepun, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo dibawa oleh anggota polis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, Shah Alam di sini, hari ini. Mariko didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 30 Oktober 2009. Foto dari BERNAMA.


Warga Jepun Ke Tali Gantung Kerana Edar Syabu Di KLIA


SHAH ALAM, 25 Okt : Seorang bekas jururawat warganegara Jepun menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine atau syabu dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu didakwa mengedar 3,493 gram Methamphetamine di kaunter pemeriksaan kastam, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.55 malam, 30 Okt 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Siti Mariah antara lain berkata Mariko dalam keterangan pembelaannya mendakwa pergi ke Dubai untuk mengambil wang daripada Alex yang katanya teman lelaki kepada rakan baiknya.

Hakim itu berkata tertuduh memberitahu selepas berada di Dubai kira-kira lima hari, dia telah berjumpa dengan pemandu Alex yang kemudian meminta bantuan dia membawa sebuah beg yang katanya berisi pakaian ke Malaysia.

Setibanya di KLIA, Mariko ditahan pihak Kastam yang menjalankan operasi menemui dadah dalam beg yang dibawa tertuduh.

"Saya mendapati pembelaan gagal mengemukakan keterangan bagi menangkis anggapan pengedaran dadah dan pembelaan tertuduh adalah direka-reka, tidak munasabah dan tidak logik.



SHAH ALAM, 25 Okt -- Bekas jururawat warganegara Jepun, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo kelihatan sugul selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, hari ini. Mariko didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 30 Oktober 2009. Foto dari BERNAMA


"Alasan tertuduh bahawa dia pergi ke Dubai untuk dapatkan wang tidak munasabah dan mencurigakan. Alex boleh hantar sendiri wang kepada teman wanitanya dan tidak perlu tertuduh datang ambil," kata Siti Mariah.

Hakim itu juga berkata tertuduh gagal membawa rakan baiknya untuk membantu pembelaan dan kegagalan mengemukakan rakan baik tertuduh itu menunjukkan keterangan yang diberikan hanyalah rekaan.

Siti Mariah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejurus mahkamah membuat keputusan dan jurubahasa Kedutaan Jepun menterjemahkannya kepada Mariko, wanita itu yang memakai kemeja-T hitam dengan jeket berwarna coklat berseluar denim biru, menangis teresak-esak dan terpaksa ditenteramkan oleh anggota polis mahkamah.

Pihak Kedutaan Jepun dan beberapa wakil media dari negara itu turut kelihatan di galeri awam bagi mengikuti perbicaraan kes itu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aimie Yusreena Yunus yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun sementara Mariko diwakili peguam Mohd Rafik Rahem.

Sumber dari BERNAMA



Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX