LEAVE YOUR MESSAGE


ShoutMix chat widget

Sunday, 16 October 2011

Widgets

SUKARELAWAN PASUKAN PENGAMAN AMERIKA KALAH KEPADA DR MAHATHIR DALAM PERMAINAN SCRABBLE



16 Oktober, 2011 16:06 PM

Sukarelawan Pasukan Pengaman Amerika Kalah Kepada Dr M Dalam Permainan Scrabble

Laporan khas oleh Salmy Hashim

WASHINGTON, 16 Okt (Bernama) -- Sukarelawan Pasukan Pengaman Amerika, Jim Wolter, yang berkhidmat di Malaysia dalam tahun 1960-an sedang membina tandas konkrit untuk membantu mengurangkan serangan cacing kerawit dalam kalangan penduduk kampung di Alor Setar, Kedah, apabila beliau dijemput makan malam di rumah seorang doktor.

"Di sinilah saya, pelajar perubatan berusia 22 tahun yang sedang sibuk membuat 'jamban' - tiba-tiba berpeluang makan malam bersama doktor yang paling berpengaruh di bandar ini, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau, (Tun) Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di rumah mereka.

"Pada saya, mereka kelihatan seperti kalangan yang kaya dan bergaya yang melakukan perjalanan mengeliling dunia namun amat selesa dengan persekitaran mereka. Mereka sangat petah berkata-kata - mereka mungkin telah berbual-bual dengan begitu selesa bersama Presiden (John F) Kennedy di White House," katanya.

Dr Mahathir, yang ketika itu aktif dalam Umno, kemudian menjemput Wolter menghadiri ceramahnya di mana beliau bertemu dengan pengundi di kawasan Dr Mahathir.

Pada malam-malam tertentu, mereka bermain scrabble "dan saya dengan mudah dikalahkan oleh Dr Mahathir dan isterinya!" kata Wolter.

Wolter, yang memilih rakyat Malaysia, Fong Moke Chee, sebagai suri hidupnya, kemudian beralih arah dan kini menjadi Profesor Pendidikan di Pentadbiran dan Pendidikan Khas di Chicago State University.

Katanya selepas itu, beliau tidak lagi berhubung dengan Dr Mahathir.

Sejumlah 4,067 sukarelawan pasukan pengaman berada di Malaysia antara 1962 dan 1983 yang menabur bakti di beberapa tempat di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis baru-baru ini mengundang anggota pasukan pengaman itu ke kedutaan untuk majlis bufet ala Malaysia ketika mereka menyambut ulang tahun ke-50 pasukan pengaman.

Sebahagian besar daripada mereka, yang menyebut diri mereka sebagai 'sukarelawan', datang dengan baju batik berwarna-warni, ada juga dengan bangganya menyarungkan kebaya dan berkain batik, manakala seorang lagi pula berbaju Melayu biru lengkap dengan samping songket serta songkok.

Dona Boyce-Manoukian, berada di Malaysia dari 1962-64, dan berkhidmat sebagai jururawat di sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kuala Rompin, Pahang. Beliau menolong bidan menyambut kelahiran bayi, dan membantu doktor merawat pesakit yang menghidap taun.

Masih terpahat dalam ingatannya beberapa ungkapan dalam bahasa Melayu dan dengan tidak semena-mena Monoukian terus mengungkapkannya: "Terus ikut jalan ini ke rumah besar itu!"

Namun begitu, Manoukian, masih terkenang hari apabila bendera Malaysia dikibar separuh tiang setelah Presiden John F Kennedy ditembak di Dallas, Texas pada 3 Nov, 1963.

"Itulah hari yang sungguh menyedihkan saya."

Lyn Juhl, yang masih aktif dalam aktiviti Malaysia-Amerika di kawasan Washington, mengajar matematik di Sekolah Menengah Rendah Kroh, Perak dan tinggal bersama tiga lagi guru lelaki - Melayu, Cina dan India - "kami bergaul dengan mesra - kami makan, bermain dan bekerja bersama-sama. Hidup begitu sederhana ketika itu."

Apa yang Juhl masih lakukan hingga ke hari ini ialah mengisi masa bersama rakan-rakannya yang lain di DC Hash House Harriers, iaitu idea yang dibawa ke Amerika Syarikat dari Malaysia oleh Bill Panton yang mengahwini seorang wanita Melayu, Allahyarhamah Aisha Panton.

Panton menubuhkan kelab Hasher pertama pada 1972 dan ketika ini terdapat 10 kelab Hasher di kawasan itu.

Frank Swetz pula ditugaskan di Pulau Pinang dari 1964-1966. Pengalamannya di Malaysia mengubah kehidupannya.

Swetz masih ingat dengan jelas satu kemalangan jalan raya yang pernah disaksikannya - pemandu kereta, seorang lelaki Cina, menangis kesakitan dalam keretanya yang remuk, tetapi seorang anggota polis Melayu, memegang tangannya dan memintanya bersabar hinggalah bantuan tiba.

"Bagi saya, itu adalah suatu isyarat yang ikhlas antara dua rakyat Malaysia tanpa menghiraukan tentang bangsa atau warna kulit mereka."

"Lantas saya terfikir sendiri - bukankah ini sesuatu yang hebat?" kata Swetz, yang dibesarkan di New York.

Informasi dari BERNAMA

Bacaan lanjutan tentang Jim Wolter, klik di sini.

Comments
0 Comments

LEAVE YOUR MESSAGES AT CBOX