06 Oktober, 2011 19:30 PM
Najib Umum Belanjawan Untuk Semua Rakyat Malaysia Pada Jumaat
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2012, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "satu Belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia".
Menekankan pendekatan inklusif kerajaan, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata akan terdapat lebih ramai yang akan menikmati manfaat dalam Belanjawan sederhana dan berhemah pada tahun ini.
Intipatinya akan termasuk dasar-dasar baharu untuk menangani kos kehidupan dalam waktu-waktu sukar dan pada masa yang sama mengekalkan pendekatan bertanggungjawab daripada segi menjamin kedudukan fiskal dalam menguruskan ekonomi.
"Belanjawan ini adalah mengenai kerajaan mengotakan janji-janji kami untuk menjamin keadilan sosial dan pada masa yang sama memastikan negara kita berada di landasan ekonomi yang kukuh yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang untuk semua.
"Ini merupakan Belanjawan transformasi yang sebenar untuk semua rakyat Malaysia, iaitu yang akan menentukan hala tuju kita ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," kata Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya sebelum pengumuman Belanjawan pada Jumaat.
"Selaras dengan prinsip 1Malaysia -- Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan -- saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan defisit, tetapi tidak akan berbuat demikian dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat biasa," katanya.
Sumber dari BERNAMA