Mangsa, Teoh Moy Lay, 52 tahun
12 Oktober, 2011 18:39 PM
Wanita Maut Dilanggar Pencuri Keretanya
KLANG, 12 Okt (Bernama) -- Setelah menyamun sebuah kereta, seorang lelaki sanggup melanggar pemilik kenderaan itu menyebabkan wanita itu mati akibat kecederaan teruk dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Kapar di sini, Selasa malam.
Teoh Moy Lay, 52, yang bekerja di syarikat kredit dan kereta terpakai, turut diseret sejauh kira-kira 54.8 meter dari lokasi kejadian di Jalan Kangar 92, Jalan Kapar.
Lebih menyayat hati, kejadian pada pukul 7.15 malam itu berlaku di hadapan suami dan anak mangsa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohamad Shukor Sulong berkata dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dipercayai mengekori Teoh sehingga di hadapan rumahnya sebelum seorang daripada mereka bertindak masuk ke dalam kereta wanita itu dan mengundurkan kenderaan berkenaan untuk dilarikan.
[Dapatkan RM10k melalui MILO]
"Mangsa yang cuba menghalang keretanya dari bahagian hadapan kemudian dilanggar oleh suspek itu sebelum dia diheret sejauh 180 kaki (54.8 meter) dari lokasi kejadian.
"Suami mangsa yang terdengar jeritan wanita itu kemudian keluar dari rumah dan cuba mengejar kereta jenis Toyota Altis berwarna perak dengan nombor pendaftaran BKV 3882 tetapi gagal," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Beliau berkata Teoh, yang mengalami kecederaan teruk, meninggal dunia kira-kira pukul 8.20 malam ketika dibawa ke Hospital Seri Kota di sini oleh suaminya.
Mohamad Shukor berkata gerakan mencari suspek masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, katanya.
Informasi sumbangan BERNAMA